Interaksi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (luar bilik darjah)

Pengenalan

     Pembelajaran luar bilik darjah menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2005) adalah suatu program atau aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur. Aktiviti ini berpusatkan murid bagi menyokong dan mengukuhkan perlaksanaan kurikulum di sekolah. Ia turut merangkumi persekitaran pembelajaran yang progresif. Diperkenalkan sejak tahun 2000, tujuan program ini adalah agar pembelajaran menjadi lebih bermakna dan berbentuk kontekstual.

    Melalui penulisan blog ini, saya akan menekankan berkaitan interaksi yang berlaku antara guru dengan murid yang digunapakaikan dalam proses pembelajaran di luar bilik darjah.

    Interaksi merupakan proses saling bertindak balas, saling mempengaruhi antara satu sama lain. Menurut Merriam Webster Online Dictionary, interaksi bermaksud pengaruh atau aksi dua hala. Seseorang individu berinteraksi dengan individu yang lain atau bahan di dalam persekitran dengan tujuan untuk mempengaruhi satu sama lain. Interaksi yang berlaku antara guru dan murid dalam proses pembelajaran dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu percakapan guru, percakapan murid dan juga kesenyapan ddi dalam mahupun di luar bilik darjah. Terdapat juga pelbagai pola interaksi dalam proses pembelajaran antaranya interaksi sehala, interaksi dua hala dan interaksi pelbagai hala. Oleh itu guru mempunyai peranan yang penting berkaitan dengan gaya percakapan atau komunikasi kerana ianya banyak tertumpu kepada pengaruh langsung.

Isi penting

    Interaksi sehala berkait rapat dengan teknik atau kaedah yang digunakan oleh guru dalam proses pengajarannya. Corak interaksi sehala adalah antara guru dengan murid. Melalui interaksi ini, guru akan mengawal segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berlaku sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah. Guru akan menggunakan pendekatan yang berpusatkan guru, kaedah bercerita, kaedah kelas, dan kaedah syarahan. Ciri-ciri interaksi sehala adalah corak interaksi di bilik darjah ditetapkan oleh guru dan tiada interaksi yang berlaku antara murid dengan murid. Sebagai contoh, guru memberikan penerangan dan arahan ketika lawatan sambil belajar. Interaksi ini boleh juga digunakan dengan kaedah pembelajaran atas talian. Interaksi sehala ini tidak melibatkan murid-murid secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

    Seterusnya ialah interaksi dua hala di antara guru dengan murid. Melalui jenis interaksi ini, guru menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif. Interaksi dua hala merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang mempunyai corak aktif. Guru  akan menggalakkan murid terlibat aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga membolehkan hubungan baik  antara guru dan murid terjalin.

    Akhirnya, interaksi pelbagai hala iaitu antara guru dengan murid dan murid dengan murid. Melalui jenis interaksi ini, guru dapat menggalakkan interaksi pelbagai hala. Contohnya guru menggunakan teknik pengajaran seperti simulasi, pendekatan kumpulan, kaedah perbincangan, dan uji kaji di makmal. Guru juga boleh menggunakannya ketika di padang ketika kelas Pendidikan Jasmani dengan membentuk kumpulan pelajar untuk bermain bola tampar. Kaedah ini akan mewujudkan interaksi antara pelajar dan semangat berpasukan dikalangan mereka.

Kesimpulan

     Interaksi merupakan aspek penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui topik ini, saya mempelajari bahawa interaksi dua hala dan interaksi pelbagai hala amat berkesan untuk digunapakai kerana ia memberi peluang kepada murid untuk terlibat secara aktif. Penglibatan aktif murid adalah penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Guru juga dapat menjalinkan hubungan baik dengan murid dan dapat mengenali kelemahan dan kelebihan murid-murid. Hal ini dapat membantu guru untuk mencapai matlamat dan objektif pengajaran.

Rujukan:

https://www.academia.edu/7418833/Kaedah_Pembelajaran_Luar_Bilik_Darjah

https://www.slideshare.net/shaamran78/komunikasi-berkesan-di-dalam-dan-luar-bilik-darjah

http://mrhafizzul.blogspot.com/2018/11/ambik-nakbab-2-interaksi-dan.html?m=1

Comments